Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Apa khabar anda semua? Saya harap, semuanya sihat dan sentiasa bersedia dalam mengahadapi cabaran dan dugaan hidup seharian. Saya ingin cetuskan sedikit perkongsian ilmu ataupun sedikit pandangan peribadi mengenai kehidupan kita, tetapi lebih kepada bagi yang sudah berkeluarga. Tajuk kali ini sedikit lari daripada biasa. Sekarang sudah dekat cuti sekolah, jadi banyak juga jemputan kawin yang saya terima. Tiga jemputan daripada saudara dan lagi dua jemputan pula dari jiran berdekatan. Jadi, rasanya sesuailah sekiranya saya memberi pandangan dan sedikit ilmu mengenai kehidupan berkeluarga ni.
Seperti biasa, kita sememangnya tidak akan lari dari dugaan hidup terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga seperti saya, dan tidak kurang juga bagi mereka yang masih solo. Walaubagaimanapun, kita harus ingat, tanpa dugaan, tanpa cabaran hidup, kita tidak akan matang dan amat sukar untuk menghadapi saat-saat kesukaran yang lebih hebat yang bakal dihadapi.
Mempunyai pasangan hidup adalah merupakan satu nikmat yang tidak terhingga kerana dialah teman, dialah kekasih dan dialah suami/isteri kita. Celik mata, nampak dia. Pergi ke mana-mana, dia selalu ada. Namun, sesekali kita pasti menghadapi percanggahan pendapat dengan dia bukan? Percanggahan pendapat itu sebenarnya tidak salah, tetapi kita hendaklah sama-sama cuba mendapatkan penyelesaian dengan cara yang berhemah iaitu saling bertoleransi di antara satu sama lain. Toleransi ini lebih kepada kita memberi dan dia menerima atau dengan kata lain adalah bertolak ansur.
Cuba anda fikir, jika anda pergi kerja tanpa menyelesaikan masalah bersama pasangan anda, apakah kesan yang bakal anda perolehi? Pasti mood anda pada hari itu kurang baik. Muka anda masam mencuka, hendak senyum pada kawan pun entah hendak entah tidak. Ini adalah salah satu kesan mendalam yang mungkin anda tidak sedar bahawa puncanya adalah bermulanya dari rumah.
Adakah anda nampak sekarang? Apa yang saya ingin katakan di sini adalah betapa pentingnya kita mewujudkan keharmonian di dalam keluarga. Tanpa keharmonian yang wujud terutamanya di awal pagi, pasti mood anda akan menurun seharian, melainkan anda cuba mengatasinya dengan cara yang paling berkesan ialah dengan cara berbincang dan cuba menerima pandangan dia juga. Kadangkala, bagi kaum isteri menjadi kebiasaan untuk perlu mengalah jika ada percanggahan pendapat. Maklumlah, suami ni mempunyai tahap ego yang boleh tahan juga. Tetapi, kita selitkan sedikit padangan kita dan terserahlah pada suami sama ada menerimanya ataupun tidak. Ada juga di depan kita dia tunjuk egonya, tetapi dia pasti akan merenung kembali apa yang kita katakana. Tapi, apa yang paling penting saranan saya, berbincanglah lebih-lebih lagi ketika anda hanya berdua dengan pasangan anda supaya tiada gangguan daripada anak-anak ataupun orang lain. Dengan cara ini, keharmonian akan cepat wujud antara anda berdua.
Allah berfirman dalam surah al-Hujurat:
“Hai Manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat:13).
Ayat ini menegaskan bahawa kelainan antara manusia bertujuan menjadi sebagai tanda untuk saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Kelainan antara satu sama lain akan membolehkan kita menyedari kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kesedaran ini seterusnya akan membolehkan kita bekerjasama untuk saling lengkap-melengkapi bagi membolehkan kehidupan manusia seluruhnya lebih maju dan sejahtera.
Daripada firman Allah, kita sudah paham, sememangnya kita dijadikan berlainan jantina kerana kita diberikan peluang untuk mengenali antara satu sama lain. Pastinya kita tidak akan berjumpa atau berpasangan dengan orang yang mempunyai segala sifat dan perangai yang kita ada. Pasti tidak sama. Jika sama, pasti anda rasa bosan nanti.
Bagi yang masih lagi tidak mendapat keserasian dengan pasangan, cubalah anda berterus-terang dengannya dengan cara yang baik. Kehidupan suami isteri ini tidak akan lengkap sekiranya kita tidak berterus terang. Gunakanlah kata-kata yang tidak menyinggung perasaan mereka.
Saya juga pernah bercanggah pendapat, tetapi diselesaikan secepat mungkin tidak lebih dari satu hari. Apa-apa pun, fikir-fikirkanlah demi kesejahteraan hidup anda. Segala yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu adalah dari saya sendiri. Wallahualam.
Ikhlas,
Nozi
Popularity: 5% [?]
















