Powered by Max Banner Ads 

Dugaan di Tahun 2010

Assalamualaikum,

Mungkin artikel kali ini sedikit menyentuh hal peribadi saya. Namun, saya rasa inilah tempat yang paling sesuai untuk membuang segala yang terpendam di hati.

Sebelum ini saya dikejutkan dengan perancangan syarikat saya untuk menempatkan pekerjanya ke Kuala Lumpur. Mungkin beberapa orang di antara kami ataupun kesemuanya sekali bakal ditukarkan ke sana. Bagai nak runtuh hati jantung saya mendengar berita ini. Memandangkan saya sudah begitu stabil dan selesa di tempat lahir sendiri, sudah ada rumah sendiri juga berkeluarga, bekerja pula sudah hampir 7 tahun di tempat lahir sendiri dan tiba-tiba pula dikhabarkan berita yang begitu mengusik perasaan. Walaubagaimanapun, hidup perlu diteruskan. Saya perlu hadapi semua ini dengan tabah dan sabar. Bulan 9 nanti, saya akan dapat jawapan mengenai persoalan ini. Siapakah yang bakal ditukarkan ke sana? Itu pasti sungguh susah untuk diagak buat masa ini. Tunggu sajalah nanti.

Setelah masalah tadi semakin reda di dada, timbul pula masalah pembantu rumah saya yang sudah mula demand gaji dinaikkan. Dia akan pulang bercuti sebulan ke negaranya pada bulan 6 atau bulan 8 tahun ini. Tapi, dia akan pulang ke sini dengan syarat dinaikkan gaji. Apa yang membuatkan saya begitu tidak selesa, ia tidaklah sepadan dengan kerja yang dilakukan saban hari. Sekarang anak-anak sudah besar. Anak yang pertama sudah sekolah tadika dan adiknya juga bakal sekolah tahun depan. Kerjanya akan jadi semakin ringan dan rasa seperti tidak berbaloi untuk naikkan gajinya.

Pembantu rumah saya yang berwarganegara Indonesia ini sebenarnya sudah 3 tahun bekerja di rumah saya dan kami dikatakan sudah serasi. Boleh dikatakan saya berpuas hati dengan kerja yang dilakukan dan hanya ada beberapa perkara sahaja yang saya rasakan begitu kecil untuk diambil kira. Anak-anak pun sudah serasi dengannya. Sekarang, saya juga fikirkan faktor kewangan yang bakal meningkat di tahun hadapan. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya habiskan kontrak pembantu rumah saya ini? Itupun saya masih belum dapat putuskan lagi. Saya perlu fikirkan semasak-masaknya soal ini.

Adanya pembantu rumah bagi kaum wanita yang bekerja merupakan satu kelebihan yang pastinya kaum wanita inginkan. Bukan sekadar untuk membantu menguruskan kerja rumah, tetapi niat saya pada mulanya hanyalah untuk menjaga anak-anak di rumah sendiri. Mungkin segelintir darinya yang tidak suka ada orang asing di dalam rumahnya.  Saya pun memang tidak suka, tapi demi kebaikan anak-anak, saya cuba menggaji pembantu rumah. Tapi, banyak kebaikan yang kita dapat jika pembantu rumah kita lakukan kerja dengan baik dan teratur. Pembantu rumah saya ini boleh dikatakan 80% boleh buat apa yang disuruh. 20% adalah masalah pertuturan iaitu kurang fasih dalam berbahasa Malaysia dan selalu timbul perselisihan faham. Masalah seperti yang biasanya kita dengar di media massa memang tidak saya hadapi sehingga kini. Alhamdulillah. Memang rasa sayang untuk berhentikan kontrak tersebut. Memang keselesaan anak-anak ada di rumah sendiri. Selepas ini, saya mungkin akan hantar anak-anak ke rumah kakak saya. Itupun belum diputuskan lagi.

Apa-apa pun, kedua-dua masalah di atas mungkin tidaklah besar buat mereka yang lebih banyak masalah dari saya. Walaupun begitu, ia cukup memberi kesan terhadap diri saya, tapi saya akan cuba untuk fikirkan cara yang terbaik untuk anak-anak. Moga Allah bukakan jalan penyelesaian yang terbaik buat saya. Amin.

Jika diimbas kembali kisah di awal perkahwinan dan ketika mula menimang cahaya mata, saya memang tidak ada pembantu rumah dan adik ipar saya yang menjaganya. Setelah difikirkan masak-masak, sudah tiba masanya untuk mencari pembantu rumah kerana suatu hari nanti, adik ipar saya akan mendirikan rumahtangga juga. Pernah juga saya hantar anak ke rumah pengasuh dan ada masalah yang sudah tentu menjejaskan aturan masa dan kerja saya. Nak tak nak, saya terpaksa mencari pembantu rumah. Faktor lainnya, suami saya pula bekerja shift. Sememangnya jadual kerja kami sungguh berbeza.

Banyak lagi kenangan yang saya alami ketika suami tiada di rumah, lebih-lebih lagi diwaktu malam tatkala anak menangis malam. Tuhan sahaja yang tahu ketika itu. Tapi, itu kenangan lama yang saya harap tidak berulang lagi.

Sekarang apa yang saya tahu dan akan cuba lakukan adalah dengan meneliti semula masalah saya tadi dan saya akan cuba selesaikan satu persatu.  Doakan saya menemui jalan yang betul dan terbaik buat anak-anak dan keluarga secara keseluruhannya. Jika sahabat ada sebarang komen mengenai perkara ini, amatlah dialu-alukan. Terima kasih.

tangankami

Sekian,

Popularity: 11% [?]

Share/Save/Bookmark

Keluarga

Artikel Berkaitan:
  • Indahnya Ramadhan Al-Mubarak
  • Diriku tersepit
  • If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.

    Comments

    8 Responses to “Dugaan di Tahun 2010”

    Leave Comment

    (required)

    (required)


    CommentLuv Enabled

    Polisi Komen:

    Sila baca polisi berikut sebelum anda menghantar sebarang komen di artikel ini:

    • Gunakan nama sebenar atau nama panggilan anda, bukan keyword promosi
    • Tidak meletak link URL di dalam komen
    • Gunakan bahasa yang sopan

    Komen yang tidak mematuhi polisi akan dipadam.