Mula merindu
Assalamualaikum,
Hari ni sudah hampir dua bulan Damia tidak dijaga oleh bibik. Semalam, saya memarahi Damia kerana dia memberontak dan menghentakkan mainan-mainannya kerana bergaduh dengan kakaknya dan tidak mahu mendengar kata saya. Di waktu itu, saya hanya biarkan dia menangis sendiri, tanpa dipujuk dan akhirnya dia datang ke arah saya dan meminta maaf. Kemudian, di waktu petang pula, dia mengamuk lagi. Meragam lagi. Saya marah sedikit dan dia menangis tidak mahu mandi. Tapi saya paksa juga.
Kisah pagi tadi pula lagi haru. Damia meragam untuk ke sekolah. Seperti biasa, Damia liat untuk bangun pagi lebih-lebih lagi dia sudah tahu, dia perlu ke sekolah. Saya cuba memujuknya. Tapi dia masih tidur. Biasalah, jika tiba hari sekolah, memang dia buat macam ni. Memandangkan sesi memujuk dianggarkan memakan masa berjam-jam, saya terus mengangkatnya dan masuk ke bilik air. Damia mula menangis dan tanpa bercakap banyak, saya terus gosok gigi serta mandikannya. Sambil mandi, sambil menangis sekuat hati, disela pula dengan kata-kata yang kurang saya faham. Saya dengar betul-betul dan barulah saya mengerti rupanya dia menyebut-nyebut nama bibik. Aduhai, agaknya dia begitu tertekan dan akhirnya dia sebut juga nama bibik. Bibik…bibik…Mia nak bibik teman Mia duduk umah tokma…itulah kata-katanya berselang seli dengan tangisan tanpa henti. Hati saya tiba-tiba syahdu dan rasanya saya perlu memujuknya supaya ingatan dia pada bibik tidak melarat.
Saya dakap Damia ketika itu. Saya terangkan padanya bahawa bibik tak akan balik kerana bibik sudah ada rumahnya di sana. Damia seperti tidak mahu menerima apa yang saya katakan tadi dan terus menangis. Saya pun tanyakan dia samaada dia mahu duduk rumah atuk ataupun mahu pergi ke rumah Paktehnya, abang saya. Dia mahu duduk dengan Pakteh dan Makteh dan tangisannya pun reda. Saya tanya lagi apakah betul dia mahu tinggal di rumah Pakteh. Dia mengangguk setuju. Rumah Pakteh tidaklah jauh mana. Paktehnya pula memang ada anak kecil dan bolehlah Damia ajak bermain nanti. Dulu, sewaktu Damia berumur 3 bulan - 6 bulan, Damia memang di bawah jagaan Kakak ipar saya yang saya panggil Kak Ani. Tapi, waktu tu Damia tidak faham apa-apa lagi. Sekarang, memang rumah Pakteh menjadi alternatif selain tadika dan rumah atuknya. Mujurlah saya ini tinggal di tempat asal. Ramai saudara terdekat.
Kesian pula Damia. Terpaksa mengikut segala aturan yang dibuat Mama. Maafkan mama sayang. Kita perlu lalui semua ni. Kita tak boleh bergantung pada bibik lagi. Bibik pun ada keluarganya dan dia juga ada anak-anak. Kalaulah saya boleh fahamkan Damia semua ni…

Ketika di pejabat, saya cuba menelefon rumah abang saya yang mana kakak ipar saya yang tengok-tengokkan Damia. Dia pun ada anak kecil yang berumur lebih kurang setahun lebih. Mujurlah Damia pun setuju untuk duduk di sana kerana ada kawan. Damia memang suka main dengan budak-budak. Rumah atuk dia pun memang ada budak-budak tapi mungkin dia ingin bertukar angin. Nasib baik juga rumah abang saya dekat saje. Setakat jam 11 pagi tadi, Damia nampaknya ok saje, tapi lebih banyak diam dari bercakap seperti biasa. Tak apalah, lama-lama dia biasa dengan semua orang. Itu aje yang saya fikirkan sekarang. Biarlah dia ke sana ke mari menagih kasih dan tumpuan, asalkan dia cepat matang dan memahami erti kehidupan. Mama sentiasa doakan anak-anak Mama dilindungi Allah dan sentiasa di bawah jagaan-Nya.
Bila difikirkan semula, memang rumit jika anak yang sudah terbiasa di bawah jagaan pembantu rumah tiba-tiba berpisah dan tinggal di bawah jagaan orang lain. Sudah tentunya anak itu akan rasa tidak selesa dan susah untuk membiasakan diri. Mungkin ia juga bergantung pada tahap cepat atau lambat dia ingin serasikan diri dengan suasana yang baru. Ada juga kanak-kanak yang suka bergaul dengan orang baru dan ada juga yang tidak mahu bergaul dengan orang yang dia tidak kenali.
Daripada pengalaman anak di bawah jagaan pembantu rumah ni, sekarang barulah saya dapat rasakan bahawa, lebih baik anak ini dibiasakan berada di bawah jagaan kanak-kanak seperti nursery. Bila tiba waktu sekolah pula nanti, kuranglah sedikit masalah yang dihadapi kerana dia sudah biasa dengan keadaan orang yang ramai ataupun yang mereka tidak kenal. Ini pengamatan saya sajelah. Daripada pemerhatiaan kisah anak-anak. Apa pendapat anda? Mana lebih baik? Di bawah jagaan pembantu yang tidak bermasalah ataupun menghantar anak di nursery?
Popularity: 2% [?]
Artikel Berkaitan:
If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.








